SSM Nafi Dakwaan Kebocoran Data Entiti Perniagaan Di Malaysia

17

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menafikan dakwaan terdapat kebocoran data membabitkan entiti perniagaan di Malaysia seperti dilaporkan beberapa portal.

SSM dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menjalankan siasatan dalaman dan memberi jaminan bahawa semua maklumat korporat yang diserah simpan kepada SSM adalah selamat dan dilindungi oleh beberapa lapisan teknologi keselamatan maklumat yang diiktiraf.

Katanya, SSM juga akan bekerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menjalankan siasatan lanjut terhadap dakwaan berkenaan.

“Justeru, SSM menasihati orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat entiti perniagaan berkaitan syarikat, perniagaan dan perkongsian liabiliti terhad untuk berurusan melalui saluran yang diiktiraf SSM sahaja.

“Saluran itu adalah www.ssm4u.com.my, www.ssm-einfo.my dan www.mydata-ssm.com.my,” katanya.

Selain itu katanya, SSM juga menyediakan maklumat berkaitan entiti perniagaan di Malaysia yang disahkan benar secara digital (Digital CTC) menerusi portal berkenaan yang boleh disemak kesahihan maklumat yang diterima melalui aplikasi telefon pintar yang disediakan SSM.

Untuk sebarang aduan dan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau e-mel kepada [email protected]. – myMetro Online