SRC International Bukan Milik 1MDB Ketika Ditubuhkan

KUALA LUMPUR – Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhamad Akmaludin Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang Datuk Seri Najib Razak adalah salah seorang pengarah Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M).

Beliau yang merupakan saksi pertama dalam sesi soal balas itu berkata, bekas Perdana Menteri itu dilantik menjadi pengarah Yayasan pada 11 Januari 2013.

Muhamad Akmaludin berkata demikian ketika ditanya peguam Najib iaitu Harvinderjit Singh pada perbicaraan Ahli Parlimen Pekan yang didakwa atas tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International Sdn. Bhd. hari ini.

Saksi yang berkhidmat di SSM sejak tahun 2007 turut mengesahkan ketika syarikat SRC International Sdn. Bhd. ditubuhkan pada 7 Jan 2011, saham syarikat itu tidak dimiliki oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam keterangannya, saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam itu terdapat resolusi berhubung pengeluaran 999,998 saham SRC kepada syarikat 1MDB Energy dalam mesyuarat diadakan oleh pemegang saham SRC pada 15 Ogos 2011.

Kes perbicaraan Najib itu berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd. Ghazali.

Sementara itu, Najib, 66, didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.

Beliau yang merupakan Perdana Menteri keenam didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan dan pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos dan 10 Februari 2015. – MalaysiaGazette

Loading...