SRC: Bohong Kerana Hormat – Ahmad Husni

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau berbohong kepada media dan orang ramai apabila menyatakan perletakan jawatannya sebagai Menteri Kewangan II pada 2016 tiada kaitan dengan 1MDB atau SRC International Sdn. Bhd.

Bekas Menteri Kewangan II itu berkata, tindakannya berbuat demikian adalah atas rasa hormat kepada Perdana Menteri ketika itu yang disandang oleh Najib selain melindunginya.

“Yang Arif, anda mahu saya hormat PM (Najib) atau tidak? Atas rasa hormat, saya beritahu kepada media, ia tak ada kaitan (dengan 1MDB dan SRC International). Saya bercakap itu kerana saya nak lindungi cerita sebenar. Saya tidak mahu bercerita perkara sebenar kepada media. Saya kata saya berhenti sukarela. Suratkhabar, dia tulis macam-macam dan ia akan memberi kesan kepada PM. Saya nak lindungi PM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib dalam pemeriksaan balas ketika perbicaraan hari ke-49 melibatkan bekas Perdana Menteri berhubung SRC di sini hari ini.

Terdahulu, saksi pendakwaan ke-56 itu dalam keterangannya berkata, beliau membuat keputusan untuk meletakkan jawatannya secara sukarela selepas membaca berita mengenai pertukarannya ke Unit Perancangan Ekonomi (EPU).

Beliau berkata, ketika itu beliau mahu menghadiri Mesyuarat Majlis Ekonomi dan mesyuarat yang sepatutnya bermula pada pukul 9 pagi namun pada hari tersebut ia dilewatkan dan ekoran beliau sempat membaca akhbar terlebih dahulu.

“Pada 27 Jun 2016, hari Isnin, biasanya kami ada Mesyuarat Majlis Ekonomi dan biasanya bermula pukul 9 pagi tetapi pada hari itu, ia bermula pukul 11 pagi. Saya baca laporan akhbar menyatakan saya dipindahkan ke EPU,” katanya.

Ahmad Husni, 67, berkata, ekoran laporan tersebut, beliau hanya mendiamkan diri sepanjang mesyuarat berlangsung.

“Selepas tamat mesyuarat, saya bertemu dengan Najib untuk bertanyakan perkara itu. Saya beritahu PM saya faham yang beliau mahu memindahkan saya ke EPU dan PM kemudian jawab yang beliau pindahkan saya ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk cabaran baru,” katanya.

Ahmad Husni bagaimanapun memberitahu Najib, “tolong turunkan saya” sebelum pulang ke pejabatnya.

“Lepas itu, PM hubungi saya tanya adakah tindakan saya ini secara sukarela dan saya jawab “ya” dan selepas itu saya kemas barang-barang dan dokumen sebelum pulang ke rumah,” katanya.

Pada 4 Julai dan 8 Ogos tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International. – UTUSAN ONLINE