SPV TH Bawah Kendalian Mujahid, Kata Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan hari ini memberitahu urustadbir Ahli Lembaga Pengarah Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) adalah di bawah kelolaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menepis bahawa syarikat tujuan khas (SPV) yang memegang sejumlah aset Lembaga Tabung Haji (TH) bukannya di bawah portfolio Kementerian Kewangan, sebaliknya di bawah kendalian Mujahid.

“SPV Prokhas? Saya rasa itu bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Mujahid, biar beliau yang jawab..bawah YB Mujahid,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa Ahli Lembaga Pengarah UJSB yang telah dilantik terdiri daripada pegawai-pegawai Kementerian Kewangan.

Beliau berkata, kesemua mereka mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas dalam bidang kewangan.

Semalam, di Dewan Rakyat Mujahid berkata aset bernilai RM19.9 bilion yang dipindahkan dari TH kepada SPV tidak dicairkan.

Menurutnya, SPV berperanan untuk menjalankan proses rehabilitasi kesemua aset tersebut melalui strategi pengudangan (warehousing) dan penstrukturan semula.

Difahamkan, Bank Negara telah mengawal selia TH bermula Januari tahun ini sebagai sebahagian daripada pelan pemulihan secara menyeluruh bagi memulihkan penyata kira-kira TH yang merekodkan defisit RM4.1 bilion pada 31 Disember 2017.

Kesemua aset dikenal pasti dipindahkan kepada SPV merangkumi 80 peratus dalam bentuk ekuiti dengan susut nilai melebihi 20 peratus manakala baki dalam bentuk hartanah dengan hasil di bawah dua peratus. – Sinar Harian

Loading...