SPRM Tidak Siasat Kes Kematian Teoh Beng Hock

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan membuka semula kes siasatan berhubung kematian Teoh Beng Hock atau mengadakan siasatan dalaman.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, badan itu tidak boleh menyiasat diri sendiri kerana ia akan mengundang dakwaan bahawa penyiasatan dijalankan dalam keadaan tidak bebas.

Beliau berkata, SPRM justeru perlu menyerah sepenuhnya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan.

“Keadaannya adalah seperti penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis ( IPCMC), prinsip penubuhannya ialah polis tidak boleh terlibat dalam menyiasat orang sendiri,” katanya dipetik Sinchew Daily dalam wawancara bersama akhbar Cina.

Latheefa juga menegaskan bahawa SPRM akan bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan dalam siasatan kes Beng Hock.

Latheefa berkata, beliau sendiri juga akan bertemu dengan wakil Yayasan Teoh Beng Hock untuk mendengar pandangan mereka.

Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai, 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan sama.

Mendiang ialah Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ean Yong Hian Wah, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan ketika itu.

Dalam perkembangan lain, Latheefa berkata, SPRM akan mengeluarkan senarai tuntutan kedua dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas badan itu menyelesaikan 41 kes sedia ada membabitkan penerimaan dana berjumlah RM270 juta.

Beliau berkata, SPRM setakat ini telah menuntut semula RM942.6 juta termasuk dana yang dipulangkan secara sukarela sebelum SPRM memulakan operasi tuntutan.

“Dana yang dipulangkan ini bukan dari luar negara, tetapi semuanya dari Malaysia,” katanya.

Menurutnya, dana 1MDB yang digunakan untuk tujuan menunaikan haji, memberi bantuan kepada badan kebajikan atau untuk tujuan pendidikan tidak perlu dipulangkan.

Jelasnya, Kementerian Kewangan boleh memiliki senarai tuntutan sendiri, tetapi ia tidak mempunyai kaitan dengan SPRM.

Loading...