SPRM Tak Boleh Halang Najib Dapatkan Penyata Akaun Bank

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempunyai kuasa untuk menghalang AmBank daripada menyerahkan dokumen perbankan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebelum ini dalam prosidng SRC International, Mahkamah Tinggi beberapa kali diberitahu bahawa bekas Perdana Menteri itu tidak dibenar mendapatkan dokumen berhubung penyata akaun AmBank miliknya.

Bagaimanapun, sebentar tadi, Mohd Nazlan ketika membuat keputusan tersebut setelah mendapat permohonan Najib mendapat akses kepada penyata akuannya dari AmBank berkata, sebenarnya tiada peruntukan undang-undang yang memberikan kuasa sedemikian kepada SPRM untuk bertindak seperti itu.

Malah kata Mohd Nazlan, tiada peruntukan undang-undang termasuk Akta SPRM dan Akta Perkhidmatan Kewangan yang memberikan SPRM kuasa tersebut.

“SPRM tidak ada kuasa untuk berbuat sedemkian. Malah pihak pendakwaan juga tidak terjejas dengan tindakan pihak memberikan dokumen perbankan kepada Najib.

“Bagi memastikan proses perbicaraan ini berjalan dengan adil dan penuh integriti termasuk dengan memberikan keadilan kepada pasukan pembelaan, SPRM tidak boleh menghalang untuk mendapatkan dokumen seperti yang dipinta,” katanya.

Sebelum ini, Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihak pembela telah meminta dokumen berkenaan dari AmBank bagi tujuan persediaan pembelaan anak guamnya, namun pegawai bank berkenaan memberitahu bahawa SPRM menerusi sepucuk surat menyatakan bahawa mana-mana pihak yang meminta dokumen berkenaan perlu melalui SPRM terlebih dahulu.

“Di bawah peruntukan apa saya tidak boleh mendapatkannya kerana ini akaun anak guam saya. Dia masih kekal sebagai pemegang akaun meskipun jika dia ingin menutupnya hari ini dia masih boleh meminta apa juga akaun yang ternyata.

“Dia berurusan untuk pembelaan dirinya yang sudah tentu ia tidak boleh dirahsiakan daripadanya kerana ini akaun dia,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Loading...