SPRM Siasat Kes Beli Undi Awal PRN Sabah

KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kini membuka kertas siasatan terhadap dua anggota pasukan keselamatan yang ditahan kerana membawa sejumlah wang disyaki untuk ‘membeli’ undi.

Kedua-dua suspek dipercayai berperanan menerima dan mengagihkan sejumlah wang disyaki untuk ‘membeli’ undi buat seorang calon parti politik tempatan yang bertanding.

Mereka dikatakan menjadi ‘orang tengah’ untuk memberi wang kepada pengundi yang mengundi awal hari ini.

Sumber berkata, kes ini dirujuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada SPRM selepas aduan diterima berhubung perkara ini. 

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua anggota keselamatan terbabit.

Beliau berkata, kes disiasat Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali, ketika dihubungi, mengesahkan dua anggota terbabit ditahan di Lahad Datu, semalam.

“Saya sahkan penahanan dua anggota keselamatan terbabit.

“Polis sudah menyerahkan mereka kepada SPRM untuk siasatan lanjut,” katanya. – BH Online

Loading...