SPRM Siasat Airbus, AirAsia Terbabit Rasuah

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sudah menjalankan siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan Airbus dan dua eksekutif dari AirAsia, seperti didedahkan portal United Kingdom (UK) semalam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata mengikut akta SPRM, pihaknya mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat sebarang tindakan rasuah dilakukan oleh mana-mana warga tempatan atau penduduk tetap Malaysia yang berada di luar negara.

“Dalam kes Airbus-AirAsia ini, saya dengan ini mengesahkan pihak SPRM sudah menghubungi pihak berkuasa UK dan sudah memulakan penyiasatan dalam perkara ini.

“Kami mempunyai kuasa untuk menyiasat apa-apa tindakan rasuah dilakukan individu berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, portal The Telegraph dilaporkan mendakwa Airbus membayar RM204 juta dan menawarkan RM225 juta lagi untuk menaja sebuah pasukan sukan yang mempunyai kaitan dengan dua individu berpengaruh di AirAsia and AirAsiaX.

Sementara itu, BH menghubungi pengurusan AirAsia di Kuala Lumpur dan jurucakapnya berkata, satu kenyataan akan dikeluarkan berhubung perkara itu. – BH Online

Loading...