SPRM Serah Kertas Siasatan RM1.4 Juta Minggu Depan

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) berhubung pembayaran cek sejumlah RM1.4 juta kepada pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown selewat-lewatnya minggu depan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, laporan kertas siasatan berkaitannya kini telah berada di peringkat akhir.

“Beberapa kertas siasatan akan dikemukan kepada DPP minggu depan untuk mendapat arahan selanjutnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian kompleks pejabat baharu SPRM Selangor di sini, hari ini.

Ketika ditanya pemberita adakah ada individu lain akan dipanggil termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Azam menegaskan tidak mahu menimbulkan sebarang spekulasi berkaitannya.

“Siasatan masih diteruskan, mana-mana kertas siasatan yang siap akan diserahkan kepada DPP,” jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown membuat pengakuan telah menerima pembayaran RM1.4 juta dibuat Abdul Hadi selain memuat naik beberapa gambar salinan dokumen berkaitan, termasuk perjanjian rahsia serta sekeping cek Bank Islam menerusi blog, Sarawak Report. – K! ONLINE

Loading...