SPRM Salah Pakaikan Boon Poh, Isa Samad Baju Lokap?

KUALA LUMPUR – DAP membantah tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memakaikan Exco Kerajaan DAP Pulau Pinang, Phee Boon Poh dan bekas Pengerusi FGV, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dengan pakaian lokap sewaktu dibawa ke mahkamah.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, tindakan SPRM itu melanggar prinsip bahawa seseorang tidak bersalah sehingga terbukti bersalah sekali gus perbuatan itu melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

“Ini jelas penyalahgunaan kuasa. Sama ada orang yang ditahan dan ditahan reman daripada Barisan Nasional atau Pakatan Harapan, SPRM tidak boleh menghina mereka secara terbuka dengan memaksa mereka memakai pakaian seragam oren ketika dibawa ke mahkamah.

“Amalan itu sama sahaja seperti mengatakan mereka bersalah kerana rasuah sebelum perbicaraan penuh,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd. Isa direman selama lima bermula semalam bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes pembelian 2 hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Mohd. Isa dibawa ke Mahkamah Majistret dengan berpakaian lokap SPRM warna oren sambil diiringi isteri Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid dan anak mereka.

Phee Boon Poh pula direman selama lima hari bermula 12 Ogos lalu bagi membantu siasatan berhubung serbuan ke atas sebuah kilang haram di Kampung Sungai Lembu, Penanti di Pulau Pinang.

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bagaimanapun membenarkan permohonan semakan semula untuk membatalkan perintah tahan reman keatas pemimpin DAP tersebut kerana dinafikan keadilan asasi. – MYNEWSHUB.CC