SPRM Pantau Jabatan Lain Terbabit Kartel Monopoli Tender

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memantau jabatan lain yang terbabit sindiket kartel yang memonopoli ratusan tender kementerian dan agensi kerajaan sejak tujuh tahun lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berdasarkan maklumat yang diterima.

“Belum boleh umumkan (jabatan terbabit sindiket kartel), kita sedang memantau perkara ini. 

“Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk dilihat dengan lebih teliti mengenai proses perolehan supaya isu kartel dapat diatasi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Kerjasama Strategik Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta SPRM di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan SPRM menahan tujuh individu dipercayai anggota sindiket kartel memonopoli ratusan tender kementerian dan agensi kerajaan sejak tujuh tahun lalu.

Penahanan individu terbabit termasuk ketua sindiket berusia 47 tahun itu dipercayai melumpuhkan sindiket kartel projek dan tender kerajaan dengan nilai projek dianggarkan mencecah RM3.8 bilion.

Ditanya terdapat individu lain termasuk golongan kenamaan yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan, Azam berkata, setakat ini tiada penahanan baru dilakukan.

Mengenai laporan Prasarana Malaysia Berhad susulan penemuan audit dan penyiasatan Projek Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL) di Arab Saudi dari 2015 hingga 2018, beliau berkata, siasatan kes itu sudah selesai dan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 iaitu salah guna kuasa.

“Kita sudah serahkan kertas siasatan kepada Peguam Negara dua minggu lalu dan sedang menunggu keputusan sekiranya ada pihak boleh dituduh,” katanya. – myMetro Online