SPRM Panggil Saksi Isu Kartel Daging Sejuk Beku

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil 27 saksi berhubung isu kartel daging sejuk beku membabitkan pekerja syarikat, ejen pengimport dan pegawai kerajaan.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 yang menjurus kepada kesalahan menerima rasuah, mengemukakan tuntutan palsu dan berkaitan pemalsuan dokumen.

“Buat masa ini, SPRM masih aktif menjalankan siasatan dengan menganalisis maklumat, pengumpulan bukti-bukti serta akan membuat beberapa lagi tangkapan bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

Menurut SPRM, lapan suspek direman bagi membantu siasatan kes sejak 4 Januari lalu.

Kenyataan itu juga menyebut SPRM Johor semalam menahan seorang pengarah syarikat berusia 36 tahun di Johor Bahru dan suspek direman selama enam hari bermula hari ini selepas permohonan bagi tujuan tersebut dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru.

SPRM Johor sebelum ini dilapor membuka kertas siasatan berhubung isu penyeludupan daging import atau kartel daging import di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pada 8 Januari lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis sedang mengumpul keterangan saksi berhubung isu itu untuk dirujuk kepada Peguam Negara bagi tindakan susulan. – BERNAMA