SPRM Kenal Pasti Individu Rasuah Gelaran ‘Tan Sri’

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memperoleh maklumat berkaitan individu yang didakwa terlibat dalam rasuah untuk mendapatkan darjah kebesaran yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.

SPRM dalam satu kenyataan media berkata, agensi itu memperolehi maklumat berhubung individu terbabit daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Kuala Lumpur hari ini.

“SPRM menjunjung kasih di atas perkenan Sultan Johor menerima menghadap Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad bersama beberapa pegawai kanan SPRM hari ini.

“Ia berhubung maklumat mengenai individu yang terlibat berkaitan dengan rasuah untuk mendapatkan darjah kebesaran yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.

“Di dalam pertemuan tersebut, pihak SPRM telah memperoleh maklumat yang berkaitan daripada baginda dan telah mengenal pasti individu yang terlibat,” kata kenyataan itu hari ini.

Sultan Johor sebelum ini mendakwa menerima tawaran sebanyak RM2 juta daripada seseorang bagi mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Negara untuk gelaran Tan Sri daripada Yang di-Pertuan Agong.

SPRM seterusnya memberi jaminan akan memastikan siasatan yang telus dijalankan berkenaan perkara itu dan tindakan yang sewajarnya akan diambil berdasarkan undang-undang.

“SPRM amat menyanjung tinggi sokongan penuh baginda kepada SPRM serta komitmen berterusan baginda dalam memerangi dan menghapuskan jenayah rasuah dan salah guna kuasa di negara ini amnya dan di Johor khususnya,” kata SPRM. – MYNEWSHUB.CC

Loading...