SPRM Dakwa Pengusaha Vape Buat Laporan Palsu

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan polis berhubung dakwaan individu mendakwa dirinya diugut dalam siasatan suruhanjaya berkenaan berkaitan kes Macau Scam. 

SPRM dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan pihaknya memandang serius tohmahan individu terbabit yang dianggap mencemar imej agensi berkenaan. 

“Individu berkenaan membuat laporan polis berhubung perkara itu selepas dua bulan dia dibebaskan daripada tahanan reman SPRM.

“Salinan laporan itu juga sudah tular oleh pihak tertentu sekali gus mencemarkan nama baik SPRM. 

“Justeru itu, seorang pegawai SPRM membuat laporan polis hari ini bagi menafikan tohmahan individu berkenaan,” katanya. 

Katanya, SPRM menggesa pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung laporan palsu itu.

“SPRM tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya dakwaan itu benar dilakukan oleh pegawai SPRM. 

“Namun sekiranya laporan itu palsu, maka individu berkenaan perlu dibawa ke muka pengadilan,” katanya. 

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang pengusaha vape mendakwa diugut seorang individu bergelar Datuk bersama pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes Macau Scam pada Oktober lalu. – myMetro Online