SPRM Cadang Tuduh Najib Sejak 2015

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyediakan kertas siasatan dan cadangan pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Razak bagi mendakwa bekas Perdana Menteri itu pada 2015.

SPRM mencadangkan pendakwaan terhadap Najib dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Perkara itu dimaklumkan Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, 52, dalam keterangannya pada perbicaraan kes SRC International yang dihadapi Najib di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Terdahulu Dzulkifli memberitahu mahkamah, bagaimanapun Peguam Negara pada ketika itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, mengarahkan SPRM untuk membuat siasatan lanjut berhubung dua isu penting.

Peguam Negara meminta SPRM menyiasat sama ada Najib mempunyai pengetahuan bahawa wang yang masuk ke akaun beliau adalah daripada SRC.

“SPRM juga diminta menjalankan siasatan bagi mengetahui sama ada Najib mengarahkan mana-mana individu untuk memasukkan wang ke dalam akaunnya,” katanya.

Menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, sama ada SPRM kembali dengan siasatan lanjut, Dzukifli menjawab: “Ya.”

“Bagaimanapun, SPRM tidak menjawab soalan yang ditimbulkan dan memaklumkan bahawa tiada keterangan menyatakan Najib memberi arahan untuk wang dimasukkan ke dalam akaunnya.

“Selepas itu kami mengkaji kembali minit yang dikemukakan SPRM dan mengangkatnya kepada Peguam Negara untuk membuat keputusan,” katanya.

Muhammad Shafee: Apa yang dilakukan oleh Peguam Negara selepas dapat kertas siasatan?

Dzulkifli: Buat kes NFA (No Further Action) kertas untuk simpanan.

Muhammad Shafee: Diputuskan tiada pendakwaan untuk kes mana?

Dzulkifli: Kedua-duanya, kerana cadangan SPRM adalah Seksyen 403 KK.

Elemen penting dalam Seksyen 403 KK adalah pengetahuan.

Muhammad Shafee: Seksyen 409 Kanun Keseksaan tidak pernah dicadangkan?

Dzulkifli: Tak

Muhammad Shafee: Selepas kertas siasatan dipulangkan, apa tindakan SPRM?

Dzulkifli: Merujuk kembali kepada Peguam Negara untuk kaji semula keputusan itu.

“Bagaimanapun Peguam Negara mengekalkan keputusannya,” katanya.

Ketika ditanya reaksinya ketika melihat kertas siasatan pertama dan cadangan pertuduhan terhadap Najib, Dzulkifli menjawab: “Saya amat terkejut.”

Pada prosiding itu juga, bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh, memberitahu mahkamah bahawa Najib mengarahkannya untuk mendapatkan aliran kewangan daripada Dzulkifli pada 26 Februari 2016.

Bagaimanapun, saksi pembelaan ke-15 itu berkata, beliau tidak ingat tindakan yang diambil oleh Dzulkifli selepas itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok. – BH Online

Loading...