SPRM Akan Dakwa Bekas CEO SSM Esok

PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendakwa bekas ketua pegawai eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Zahrah Abd Wahab Fenner atas pertuduhan rasuah esok.

SPRM berkata, Abdulazeez Wan Ruslan juga akan dihadapkan ke mahkamah bersama ibunya esok.

“SPRM telah mendapat izin mendakwa daripada peguam negara bagi menuduh Zahrah dan anaknya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

“Kedua-duanya akan dituduh bersama berhubung siasatan beberapa kes rasuah,” kata SPRM dalam kenyataan hari ini.

Agensi anti-rasuah itu berkata, dua beranak itu dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada 2 petang tadi untuk melengkapkan proses akhir siasatan dan pendakwaan itu.

Zahrah yang merupakan akauntan bertauliah, dilantik sebagai CEO SSM pada 2015.

Dia pernah dilantik sebagai timbalan CEO (Perkhidmatan) SSM sejak suruhanjaya itu ditubuhkan pada 2002 dan akauntan utama Kementerian Luar dari 1992 hingga 1995.