SPR Sokong Syor ERC

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyokong syor Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) supaya peranan suruhanjaya itu distruktur semula kepada tiga entiti bebas yang menjalankan fungsi berasingan jika ia mampu memperbaiki proses pilihan raya.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun, berkata beliau kurang pasti butir dicadangkan ERC, tetapi jika cadangan itu akan memberi kesan yang baik kepada SPR, ia akan menyokongnya.

“Jika terdapat cadangan menubuhkan agensi berlainan untuk pilihan raya, sebagai contohnya ada agensi yang (dilantik) menjaga persempadanan semula dan penubuhan itu dapat memperbaiki proses berkenaan, saya setuju jika menjadi lebih lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan delegasi Jawatankuasa Pilihan Khas Pilihan Raya (JKPK Pilihan Raya) dan Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam (JKPK JUPA).

Sebelum ini, BH melaporkan ERC mengesyorkan SPR distruktur semula kepada tiga entiti bebas yang menjalankan fungsi berasingan berkaitan pilihan raya.

Mengikut Pengerusi ERC, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman, tiga entiti itu adalah SPR sebagai badan yang menguatkuasakan undang-undang pilihan raya, Elections Malaysia yang menjalankan urusan pilihan raya dan Suruhanjaya Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya (EBC) yang melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Ab Rashid dilaporkan berkata, penstrukturan itu akan membabitkan pindaan dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan pembentukan SPR dan mampu dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15.

Selain itu, Azhar berkata, tahun ini SPR akan menumpukan sektor pendidikan simulasi di sekolah dan satu modul sudah siap untuk digunakan pihak sekolah.

“Kita sudah mulakan pembelajaran simulasi untuk Tingkatan Empat sejak tahun lalu. Kami menerima maklum balas yang bagus dari pihak sekolah dan mereka meminta sesi pembelajaran itu diteruskan.

“Modul sudah disiapkan dan boleh digunakan oleh orang awam. Setakat ini modul itu digunakan untuk pelajar Tingkatan Empat sahaja. Kita tidak ada laksanakan modul itu untuk pelajar Tingkatan Lima kerana tidak mahu mengganggu proses pembelajaran mereka,” katanya.

Sementara itu, mengenai pelaksanaan pengundian secara dalam talian atau e-voting, Azhar berkata pihaknya belum membuat sebarang keputusan dan ketika ini ia masih dalam peringkat perbincangan dengan beberapa pakar yang berkaitannya.

“Mengenai pelaksanaan e-voting, yang paling membimbangkan saya mengenai keselamatan dan bagaimana mahu memastikan pengundi berpuas hati dengan undi mereka benar-benar ada di dalam sistem atau sebaliknya.

“Pengundi mahukan bukti, jika mereka undi A, betul ke jika masuk dalam sistem undi itu akan diberikan kepada A atau tidak.

“Kita juga kena fikir mengenai masalah penggodam. Memang ada cadangan kepada kita untuk gunakan teknologi rantaian blok, tetapi ada yang menyokong dan membantah. Jadi sebelum laksanakan, kita akan lihat dahulu semua perkara,” katanya. – BH Online

Loading...