SPR Perlu Masa Laksana Undi 18 Tahun

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memerlukan masa sebelum melaksanakan keputusan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 termasuk daftar pengundi 18 tahun.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya perlu membuat penyediaan daripada segi kewujudan sistem, sumber manusia dan kewangan sebelum menetapkan tarikh kuatkuasa perkara berkenaan.

Sehubungan itu katanya sehingga kini, usia kelayakan pengundi dan calon masih kekal 21 tahun serta pendaftaran pemilih masih dibuat secara manual.

“Selain mewujudkan sistem, kita perlu menyelesaikan masalah alamat kerana terdapat alamat tidak wujud kerana pendaftaran automatik ikut kad pengenalan.

“Dalam soal ini, SPR perlu bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta pelbagai pihak untuk mendidik masyarakat betapa pentingnya mengemaskini alamat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Forum Make A Change, Let’s Do It Together anjuran SPR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Selain menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pindaan RUU itu membolehkan pendaftaran secara automatik sebagai pemilih dan menurunkan umur layak untuk menjadi calon pilihan raya pada seawal usia 18 tahun.

Menurut Azhar lagi, beliau tidak dapat memberi jaminan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dijangka pada 2021 akan dapat melaksanakan ketiga-tiga keputusan pindaan RUU itu.

Katanya, jika boleh beliau berharap PRN Sarawak menjadi projek perintis susulan perkembangan baharu itu.

“Namun kita tidak mahu ia mendatangkan masalah sewaktu pilihan raya itu berlangsung, biarlah tiada masalah akan timbul apabila dilaksanakan kelak,” katanya.

Sementara itu, Azhar berkata, SPR bercadang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan dan parti politik dalam usaha menyediakan modul pendidikan pengundi kepada pelajar untuk memberi pemahaman kepada golongan itu mengenai demokrasi dan pilihan raya. 

Loading...