SPR Perkenal Kamera Rakam Proses Undi PRK Kimanis

PETALING JAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memperkenalkan penggunaan kamera video di semua saluran mengundi pada hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Pengerusi Azhar Azizan Harun berkata langkah itu sebagai salah satu usaha penambahbaikan untuk pilihan raya yang cekap dan telus.

“Penggunaan kamera video ini adalah untuk rakaman keadaan dalam saluran dan memudahkan SPR untuk menyemak semula proses pengundian dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Ia dipasang di semua 68 saluran dan akan dikendalikan oleh pegawai SPR,” katanya dalam satu kenyataan.

Azhar juga berkata rakaman melakui kamera video itu akan digunakan sebagai pemantauan kualiti dan rujukan untuk tujuan latihan serta penambahbaikan proses pilihan raya akan datang.

Katanya, penggunaan kamera video itu tidak akan sama sekali menjejaskan kerahsiaan pengundian memandangkan kamera ini dipasang jauh dari petak undi dan kehadiran ejen calon di tempat mengundi adalah dikekalkan.

PRK Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Anifah.

Hari pengundian awal ditetapkan pada 14 Januari. Kerusi DUN lain di Kimanis adalah Membakut.

Pemilihan merebut kerusi Parlimen Kimanis pada 18 Januari ini menyaksikan pertandingan 1 lawan 1 antara Barisan Nasional dan Warisan.

BN cuba mempertahankan kerusi yang dimenangi selama 3 penggal sejak 2004 dengan mempertaruhkan Mohamad Alamin, yang akan dicabar calon Warisan, Karim Bujang

Terdapat 29,644 pengundi di Kimanis, yang terdiri daripada 52% Bumiputera Islam, 41% Bumiputera bukan Islam dan 6% Cina. – FMT

Loading...