SPR Nafi Batal Laporan Polis Sebuah Parti Politik

SEREMBAN – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan tuduhan bahawa agensi itu membatalkan laporan polis yang dibuat sebuah parti politik.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya memandang serius tuduhan yang dilemparkan itu kerana ia jelas menyalahi undang-undang.

Katanya, mengikut prosedur setiap laporan polis yang dibuat akan disiasat dan tiada siapa yang boleh menarik balik termasuk pengadu itu sendiri.

“Saya amat kecil hati dengan pihak yang melemparkan tuduhan tidak betul terhadap SPR kerana kita adalah institusi yang adil dan tidak campur tangan dengan hal-hal penguatkuasaan parti lain terutamanya polis.

“Kita harap semua pihak faham perkara ini (bidang kuasa SPR) dan saya pohon agar tuduhan sebegini tidak lagi dilemparkan terhadap SPR,” katanya pada sidang media ketika hadir membuat semakan isi peti undi dan agihan peralatan mengundi kepada ketua tempat mengundi di Dewan Serbaguna SJK (C) Bandar Sri Sendayan di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan sama SPR turut menafikan dakwaan bahawa agensi itu bersikap berat sebelah dalam mengambil tindakan.

Katanya, dakwaan mengatakan penguatkuasaan dilakukan terhadap satu parti manakala satu parti lagi tidak diambil tindakan adalah tidak tepat.

“Untuk makluman Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) telah melaksanakan undang-undang sebanyak 16 kali sepanjang tempoh kempen.

“Tindakan itu melibatkan lapan parti A dan lapan untuk parti B (kerajaan dan pembangkang). Jumlahnya sama rata, jadi tidak timbul isu tidak adil,” katanya.

Katanya lagi, antara tindakan yang diambil melibatkan kesalahan tiada permit kempen, bendera atau kain rentang tidak mengikut peraturan dan sebagainya. – Sinar Harian

Loading...