SPR Lapor Polis Isu Kertas Undi Awal Bocor

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) hari ini membuat laporan polis berhubung penyebaran kertas undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang tular di media sosial.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyiasat perkara tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya.

Kata beliau, pihak SPR mendapati bahawa gambar tersebut adalah kertas undi pos yang dikeluarkan kepada pengundi pos PRK kerusi Parlimen berkenaan pada 13 Januari lalu.

“Tindakan menularkan gambar kertas undi merupakan satu kesalahan dan tuduhan pihak tertentu yang kata SPR keluar kertas undi sebelum hari pengundian merupakan fitnah dan berniat jahat,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengingatkan pengundi dan semua pihak agar sentiasa menjaga kerahsiaan serta tidak mempamerkan kertas undi mana-mana pilihan raya kepada umum sama ada di laman media sosial dan lain-lain.

Kata Azhar lagi, tindakan tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang boleh dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang jika disabitkan kesalahan di mahkamah.

PRK Cameron Highlands pada 26 Januari ini menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan, M. Manogaran, Barisan Nasional yang letak bekas pegawai kanan polis, Ramli Mohd Nor serta dua calon Bebas iaitu bekas pensyarah di Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib, 61, dan petani, Wong Seng Yee, 40 tahun. – BERNAMA

Loading...