Spekulasi Mesyuarat Khas Jemaah Menteri Esok

KUALA LUMPUR – Kabinet akan mengadakan mesyuarat khas Jemaah Menteri di Pejabat Perdana Menteri, 9.30 pagi esok.

Mesyuarat khas dijadual dihadiri menteri Kabinet dipercayai menyentuh agenda penting berkaitan isu ekonomi dan kesihatan susulan penularan Covid-19 termasuk keadaan wabak itu yang semakin membimbangkan di Sabah ketika ini.

Spekulasi timbul kononnya mesyuarat itu bagi membincangkan mengenai perubahan kecil struktur Kabinet oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin terutama pelantikan jawatan Timbalan Perdana Menteri dari UMNO.

“Ya. Pagi esok di pejabat PM (Jabatan Perdana Menteri). Agenda tak dapat dipastikan mungkin berkait Covid-19,” kata seorang pegawai kanan menteri ketika mengesahkan berkenaan mesyuarat berkenaan.

Mesyuarat Kabinet baru berlangsung semalam dan mesyuarat esok membuka pelbagai spekulasi seolah-olah akan ada pengumuman besar.

Dalam sebaran jemputan, semua menteri Kabinet diminta untuk mengesahkan kehadiran hari ini.

Perdana Menteri meminta semua menteri dan pegawai yang hadir dalam mesyuarat khas esok ditentukan negatif Covid-19.

Ketika ini, kes baharu positif Covid-19 direkodkan setiap hari kekal tiga angka dengan jumlahnya tidak kurang 500 kes.

Sebelum ini, kerajaan pernah memaklumkan kemungkinan untuk melaksana semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya kes baharu Covid-19 yang dicatatkan merekodkan tiga angka jangkitan dalam tempoh beberapa minggu.

Namun, Muhyiddin berulang kali memberi jaminan PKP akan cuba dielakkan untuk dilaksana memandangkan langkah itu mendatangkan impak besar kepada ekonomi dan sosial rakyat. – myMetro Online