SPAD Siasat Rakaman Bas Ekspres Dipandu Bahaya

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah memulakan siasatan keatas rakaman video yang ditularkan di media sosial melibatkan bas Darul Naim Express Sdn. Bhd. dipandu secara berbahaya di Lebuh Raya Karak pada 19 Mac lalu.

SPAD dalam satu kenyataan berkata, agensi tersebut sedang menyiasat kes itu di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010).

“Pasukan Penguatkuasa SPAD telah mengesan pemandu tersebut, merakam kenyataan pemandu bas itu dan menggantung permit kenderaan tersebut bagi membantu siasatan

“SPAD telah merakam kenyataan yang dibuat oleh pengendali bas Darul Naim Express pada 21 Mac 2017,” kata kenyataan itu hari ini.

SPAD menegaskan agensi itu akan mengambil tindakan dibawah APAD 2010 keatas mereka yang bersalah berdasarkan hasil siasatan yang diperoleh kelak.

“SPAD akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan bagi memastikan langkah yang sewajarnya diambil terhadap pemandu bas yang membahayakan penumpang dan pengguna jalan raya lain,” kata SPAD. – MYNEWSHUB.CC