SOSMA Tak Perlu Mansuh, Cuma Perbaiki – Mat Sabu

KUALA LUMPUR – Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak perlu dimansuhkan, sebaliknya memadai dipinda dengan beberapa penambahbaikan.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, mengesahkan akta berkenaan sedang diteliti semula oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“SOSMA tidak perlu dimansuhkan, cuma perlu diperbaiki. Dulu SOSMA disalah guna termasuk ke atas Maria Chin Abdullah (pemimpin Bersih) hanya kerana terbabit dengan perhimpunan.

“Tindakan seperti itu tidak berpatutan, oleh itu SOSMA perlu dikemas kini.

“Saya tidak pasti bila kajian semula itu akan dibentang tetapi pasti dibawa ke Dewan Rakyat,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Mengulas penahanan dua wakil rakyat DAP yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), beliau berkata, siasatan dilakukan sepenuhnya oleh polis.

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk, pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak kerajaan memansuhkan SOSMA atas alasan ia disalah guna pihak berkuasa.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang, kelmarin menggesa kerajaan Persekutuan memansuhkan SOSMA seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) kerana pernah disalah guna terhadap pihak atau individu yang membongkar kegiatan rasuah. – BH Online

Loading...