SHAH ALAM – Kerajaan akan memansuhkan undang-undang yang banyak menindas rakyat khususnya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata SOSMA yang diperkenalkan ketika pemerintahan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membolehkan kerajaan menangkap sesiapa sahaja tanpa perlu dibawa ke mahkamah.

“Undang-undang Najib kalau dia tangkap tidak bawa ke mahkamah, kalau mati tiada inkuiri dan tiada tindakan yang boleh dikenakan kepada mereka yang membunuh individu yang ditangkap itu. Itu undang-undang yang diluluskan oleh Najib dan kami akan mansuhkan undang-undang itu,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam untuk mengumpul dana bagi Tabung Harapan anjuran Gabungan Persatuan Cina Klang di sini, hari ini.

Turut hadir isteri beliau Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Wilayah, Khalid Abd Samad, Anggota Parlimen Klang, Charles Santiago dan Presiden gabungan persatuan itu, Datuk Tony Tang.

Menurut Mahathir, kerajaan Pakatan Harapan sebaliknya akan berpegang kepada kedaulatan undang-undang dengan menguatkuasakan undang-undang yang akan melindungi rakyat.

“Rakyat akan dilindungi dengan undang-undang adil supaya apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh mereka jika ada, akan ditentukan oleh mahkamah…mahkamah akan tentukan salah atau tidaknya seseorang itu,” katanya.

Perdana menteri dalam pada itu berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah memberi peluang kepada Pakatan Harapan untuk memperbaiki keadaan dalam negara yang ditinggalkan oleh kerajaan kleptokrasi Najib.

Beliau yakin gabungan pakatan itu akan berjaya mengatasi masalah tersebut berikutan mendapat sokongan yang kuat daripada rakyat.

“Malam ini amat jelas begini ramai yang hadir dalam satu majlis iaitu kempen Tabung Harapan. Kita dapat kutip berjuta ringgit, berbanding (hutang) 1 trilion. Ia tidak banyak tetapi yang utama semangat kita, kesanggupan kita untuk berkorban disebabkan kita sayangkan negara ini.

“Ini negara kita, ini tanah air kita, kita dilahirkan di sini dan membesar di sini dan atas sebab itu kita sayangkan Malaysia. Terima kasih banyak kepada mereka yang menganjurkan kempen ini… mereka mengambil inisiatif tanpa mendapat arahan daripada kerajaan. Sungguhpun jumlahnya kecil tetapi sumbangan itu yang penting,” katanya.

Pada majlis itu, Dr Mahathir menerima replika cek berjumlah RM3.5 juta untuk Tabung Harapan hasil sumbangan daripada 257 individu dan syarikat di Klang. – BERNAMA

Loading...