Solskjaer Pengurus Sementara Red Devils

LONDON – Manchester United secara tidak sengaja mengesahkan Ole Gunnar Solskjaer selaku pengurus sementara kelab itu. Jose Mourinho dipecat, semalam…

LONDON – Manchester United secara tidak sengaja mengesahkan Ole Gunnar Solskjaer selaku pengurus sementara kelab itu.

Jose Mourinho dipecat, semalam dengan Red Devils kini menghuni kedudukan keenam dalam carta Liga Perdana Inggeris, 19 mata ketinggalan di belakang musuh ketat Liverpool ekoran kekalahan 1-3 di tangan kelab Anfield itu, hujung minggu lepas.

Solskjaer mengisi kekosongan jawatan itu sehingga penghujung musim bagi membantu United yang kini berdepan kemerosotan prestasi. Berita jurulatih itu sertai Red Devils terdedah selepas sebuah video dimuat naik menerusi laman web rasmi kelab, yang memaparkan Solksjaer meraikan jaringannya yang secara tidak langsung mengesahkan pelantikan itu.

Video berkenaan memaparkan dia menjaringkan gol pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara 1999 dengan disertakan tajuk ‘Malam paling diingati sepanjang karier Ole’.

Satu kenyataan ringkas yang disertakan pada video tersebut: “Solskjaer dilantik sebagai pengurus sementara kami, 20 musim selepas merangkul gelaran treble dengan jaringan tersebut di Camp Nou…”

Bekas pemain antarabangsa Norway itu menggantikan Jose Mourinho, yang dipecat semalam dan bekas jurulatih United, Mike Phelan akan dilantik sebagai pembantunya. Solskjaer sebelum ini merupakan pengendali kelab Norway, Molde tetapi musim 2018 telahpun berakhir musim sejuk ini dan hanya akan disambung semula pada Mac tahun depan.

Sementara itu, pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino yang dikaitkan sebagai calon pilihan menggantikan Mourinho menafikan dakwaan itu. Penafian tersebut dibuat selepas terdapat ura-ura mengatakan Pochettino merupakan pilihan terbaik bagi mengisi kekosongan jawatan pengurus Red Devils.

Warga Argentina itu telah menandatangani perjanjian selama lima tahun dengan Spurs, Mei lalu dan menegaskan, dia memilih untuk kekal bersama kelab bagi membuat persiapan berpindah ke stadium baharu. – AGENSI