Solat Jumaat Pertama Sebagai Perdana Menteri

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin pertama kali menunaikan solat Jumaat sebagai Perdana Menteri di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, hari ini. 

Muhyiddin, 72, mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara pada 1 Mac lepas.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Muhyiddin itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Meskipun perlantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan boleh dianggap sebagai penamat kemelut politik yang melanda negara sejak seminggu lalu, namun beliau menggalas cabaran besar untuk ditangani segera.

Ahli Parlimen Pagoh itu sememangnya dikenali dengan pendekatan “sederhana” dalam setiap tindakan dan kelebihan itu memberi keyakinan terhadap kematangan beliau dalam menghadapi situasi politik yang berlaku akhir-akhir ini.

Justeru, Muhyiddin berjanji akan melantik anggota jemaah menteri daripada kalangan individu yang bersih, berintegriti dan berkaliber.

Muhyiddin berkata beliau sedar bahawa apa yang rakyat mahu ialah sebuah kerajaan yang bersih, berintegriti dan bebas rasuah.

“Kerajaan pimpinan saya juga akan memberi keutamaan kepada usaha-usaha untuk meningkatkan integriti dan tadbir urus kerajaan yang baik,” kata beliau dalam ucapan bertajuk ‘Rayuan Kepada Rakyat Malaysia’ yang disiarkan stesen-stesen televisyen malam Isnin lepas.

Loading...