Sokongan Pengundi Cina Kepada BN Terus Meningkat

TANJONG KARANG – Sokongan pengundi Cina kepada Barisan Nasional (BN) semakin meningkat dan itu merupakan isyarat jelas kepada Pakatan Harapan (PH) yang gagal melunaskan janji selepas hampir dua tahun mentadbir negara.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar berkata, sokongan itu dapat dilihat menerusi kemenangan BN dalam lima pilihan raya kecil (PRK).

“Kita tengok (momentum ini) di (Dewan Undangan Negeri) Semenyih terdapat penambahan undi kaum Cina dan diteruskan di Parlimen Tanjung Piai yang jelas menunjukkan saluran Cina dimenangi BN.

“Malah kita terus mendapat sokongan pengundi Cina pada PRK Parlimen Kimanis sekali gus menyaksikan semua kaum tak kira Melayu, Cina dan India malah merebak sampai ke Sabah menyokong BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Program Penyampaian Sumbangan Tahun Baru Cina di Dewan Terbuka MCA Pekan Tanjong Karang di sini hari ini.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, meskipun kerajaan memainkan isu pembangunan di Parlimen Kimanis namun rakyat tahu menilai parti mana yang membela rakyat.

“Walaupun PH berkempen kalau rakyat sokong pembangkang mereka tidak dapat apa-apa namun rakyat di sana tidak mudah dipengaruhi dengan politik pembangunan.

“Rakyat menganggap parti mana yang menjadi kerajaan adalah menjadi tanggungjawab mereka membangunkan negara walaupun di kawasan pembangkang,” katanya. – Sinar Harian

Loading...