Sokong Mahathir Tak Bermaksud Tolak Anwar – Azmin

GEORGETOWN – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meminta kenyataannya menyokong Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk memimpin hingga ke akhir penggal tidak disalah tafsir.

Beliau berkata, sekiranya dilihat keseluruhan kenyataannya itu, hampir separuh tertumpu kepada soal ekonomi dan kestabilan politik.

Menurutnya, adalah penting untuk Dr Mahathir meneruskan kepimpinan dalam memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara bagi menarik pelaburan luar.

“Jangan buat tafsiran yang tidak betul. Jika tengok kepada kenyataan saya ia jelas tertumpu kepada soal ekonomi kerana kestabilan politik adalah penting untuk tarik pelaburan dalam negara. 80 peratus kenyataan saya adalah soal kestabilan, pelaburan, penwujudan pekerjaan dan pelaburan baru.

“Bagi saya adalah penting untuk Tun (Dr. Mahathir) teruskan kepimpinan beliau supaya ada kestabilan politik dan konsistensi sehingga kita buat keputusan dalam PRU (pilihan raya umum) yang akan datang,” katanya pada sidang media di sebuah hotel, di sini hari ini.

Terdahulu, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi menghadiri Sesi Libat Urus Bersama Kerajaan Negeri bagi menyediakan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan ketua-ketua jabatan.

Mohamed Azmin berkata, beliau tidak berniat untuk menyinggung mana-mana pihak dalam mengeluarkan kenyataan tersebut.

“Saya hanya bagi tumpuan kepada tugas kementerian sebab ekonomi itu penting. Saya percaya rakyat terlalu penat dengan kekeliruan politik kerana baru setahun diberi mandat, sudah mula bincang perkara politik.

“Bagi saya ini tidak sihat. Kita kena teruskan kerja kerana rangka kerja PH adalah memperkenalkan dan melaksanakan polisi ekonomi yang memberi manfaat kepada semua rakyat. Saya sokong Dr. Mahathir tidak bermakna saya tidak sokong Anwar. Jangan buat spekulasi,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian bagi menafikan dakwaan bahawa sokongan beliau terhadap Mahathir sehingga akhir penggal adalah kerana tidak menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan.

Sebelum ini dalam kenyataannya, Mohamed Azmin menyokong Dr. Mahathir perlu diberi peluang memimpin hingga ke akhir penggal bagi menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan.

Ia bagi mengalu-alukan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan pendirian parti itu dan UMNO menyokong Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

Loading...