Sokong Belanjawan 2021 Demi Kesejahteraan Rakyat

KUALA LUMPUR – Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat dasar yang berakhir hari ini menyaksikan pemimpin blok kerajaan menyeru sokongan daripada semua pihak demi kelangsungan kesejahteraan rakyat.

Seramai 82 Ahli Parlimen mengambil bahagian membahaskan rang undang-undang itu sejak 9 November lepas selepas pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November.

Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) menarik perhatian dewan dengan mengajak semua pemimpin menyokong Belanjawan 2021 bagi meneruskan kelangsungan kesejahteraan rakyat terutama dalam negara berdepan cabaran pandemik COVID-19.

“Saya nak minta pemimpin pembangkang atau kerajaan duduk semeja, ketepikan (ideologi politik masing-masing) dengan menyokong  bajet ini (Belanjawan 2021) demi kesejahteraan rakyat.

“Ketika kami dulu menjadi pembangkang, walaupun ditekan dengan pelbagai tohmahan, tetapi dua tahun berturut-turut kami menyokong bajet Pakatan Harapan waktu dan ketika itu,” katanya semasa membahaskan rang undang-undang itu.

Senada Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) menyeru Ahli Parlimen menyokong belanjawan itu yang disifatkan sebagai amanah rakyat.

“Sesiapa sahaja yang menolak bajet ini, khianat rakyat sebab mereka sedang menunggu, anggota kerajaan menunggu bajet ini diluluskan, mereka yang dibuang kerja juga menunggu,” katanya.

Beliau turut menyatakan pendirian bahawa kesemua Ahli Parlimen kerajaan menyokong rang undang-undang itu dan tidak perlu ada syak wasangka mengaitkan segelintir daripada mereka yang akan menolak belanjawan berkenaan.

Selain itu beliau turut mencadangkan jawatan di dalam Jasa diisi oleh mereka yang kehilangan pekerjaan serta mempersoalkan Pakatan Harapan sebelum ini memansuhkan jabatan itu, namun pada masa sama melantik pegawai khas dengan gaji bertaraf Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA).

Dalam pada itu, wakil rakyat blok pembakang pula menyuarakan pendapat bahawa beberapa peruntukan dalam Belanjawan 2021 perlu penelitian semula dan dipinda mengikut keperluan serta keutamaan negara ketika ini, jika ingin diluluskan.

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) dalam perbahasannya menyambut baik beberapa perkara dalam Belanjawan 2021 namun meminta kerajaan memperincikan mengenai RM13.61 bilion yang diperuntukkan kepada Kementerian Kewangan serta mempersoalkan peruntukan khas RM1 bilion di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Apakah projek khas itu, saya semak nota kaki buku Belanjawan 2021, tiada penerangan lanjut mengenai perkara itu, mana boleh wang sebanyak 1 bilion ini (diberikan kepada JPM) iaitu lebih besar daripada peruntukan sesetengah negeri.

“Jadi, saya minta Menteri Kewangan semak semula perkara ini, dalam penggulungan nanti…kalau tiada jawapan yang jelas kita kena tolak bajet ini,” katanya.

Hannah Yeoh (PH-Segambut) pula membangkitkan keperluan Agensi Kanak-Kanak untuk 30 peratus populasi rakyat Malaysia namun terdapat kekangan impak kewangan bagi penubuhan unit itu.

Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) pula menyarankan peruntukan Belanjawan 2021 kepada Jasa dan Penggerak Komuniti Tempatan (PeKT) diberikan sebagai elaun khas kepada petugas barisan hadapan yang bukan dalam kalangan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata ia berikutan pembentangan belanjawan hanya memperuntukkan elaun khas kepada petugas barisan hadapan di bawah KKM. 

“… apa jadi kepada mereka yang bukan kakitangan KKM? seperti tukang cuci, anggota polis, mereka tak dapat elaun itu. Jadi di sini, saya tekankan kita patut tarik balik dana untuk Jasa dan PeKT hampir RM100 juta, berikan kepada frontliners yang bukan dalam kalangan KKM,” katanya.

Persidangan dewan bersambung Isnin. – BERNAMA

Loading...