SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersimpati dengan nasib penjawat awam dalam soal kenaikan gaji selain diserang bertubi-tubi kerana tidak memenuhi kehendak kerajaan hari ini.

Menurutnya, ini menyebabkan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ismail Bakar terpaksa mengeluarkan kenyataan penuh diplomasi dalam menanganinya.

“Kalau dahulu masa Kerajaan BN, kajian teliti dibuat setiap kali sebelum sebarang pengumuman terutamanya dari segi implikasi terhadap kewangan kerajaan.

“Elemen flip-flop menjadi satu kebiasaan bagi kerajaan hari ini. April lepas, kerajaan BN umumkan penjawat awam akan dapat kenaikan satu gaji tahunan. Saya dan Kementerian Kewangan berpendapat kerajaan berkemampuan memberi kenaikan gaji ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam Ismail berkata, kerajaan akan melakukan kajian semula berhubung kenaikan gaji penjawat awam di negara ini selepas mengambil kira kedudukan kewangan negara ketika ini.

Menurutnya, kajian semula itu penting sama ada kenaikan gaji dijanjikan kerajaan terdahulu perlu diteruskan atau sebaliknya.

Mengulas lanjut, Najib berkata, kenaikan yang dijanjikan kerajaan terdahulu sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban penjawat awam.

“Kenaikan gaji tahunan ini bermakna akan ada yang terima tambahan sekurang-kurangnya RM80 sebulan. Kini Kerajaan PH tidak sependapat. Kajian perlu dibuat terhadap keputusan dan kajian dahulu. Kajian atas kajian.

“Naratif mereka ialah semua orang perlu berkorban dan mengambil kira kedudukan kewangan negara hari ini,” katanya.

Beliau berkata, selama ini, kedudukan kewangan negara kukuh dan diiktiraf agensi antarabangsa.

“Jadi apa yang berlaku selepas 9 Mei. Kedudukan kewangan negara hari ini mengalami isu kemampuan kerana seorang sahaja iaitu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Guan Eng mengambil langkah memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan menggantikannya dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang sehingga kini tidak ada manfaat langsung kepada kerajaan atau pembeli,” katanya.

Najib sekali lagi mengulangi kenyataan bahawa kerajaan kehilangan berpuluh bilion hasil kutipan akibat Guan Eng.

“Hasil kutipan ini boleh diberikan kepada B40, diberikan kepada penjawat awam walau RM80 sahaja.

“Tidak perlulah diteruskan dengan sandiwara Bajet 2019 belanjawan yang sukar dan sebuah bajet korban. Kita berdepan dengan masalah ini kerana Guan Eng dan kerajaan hari ini lebih berminat dan memberi keutamaan kepada mempolitikkan pengurusan ekonomi negara,” katanya. – Sinar Harian

Loading...