Soal Kelulusan Operasi, Tanya MITI – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meminta persoalan berkaitan kelulusan operasi ketika sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikemukakan terus kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Beliau berkata, perkara membabitkan kelulusan operasi sudah diserahkan kepada MITI untuk diputuskan.

“Perkara ini sedang diuruskan oleh MITI, wajar tanya kepada MITI.

“Saya susah nak jawab sebab kita sudah menyerahkannya kepada MITI, jadi MITI boleh jawab,” katanya pada sidang media secara maya Pelancaran Pembinaan Hospital Modular COVID-19 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keluhan orang ramai berhubung kekeliruan kebenaran operasi perkhidmatan perlu sepanjang sekatan penuh pergerakan PKP. – BH Online