Skuad Harimau Malaya Berlatih Di Stadium Kasetsart

BANGKOK – Hanya beberapa jam selepas menjejakkan kaki di Bangkok, skuad Harimau Malaya tidak melengahkan masa dan terus menjalani latihan…

BANGKOK – Hanya beberapa jam selepas menjejakkan kaki di Bangkok, skuad Harimau Malaya tidak melengahkan masa dan terus menjalani latihan bagi menghadapi perlawanan separuh akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Rajamangala Rabu ini.

Di bawah pengawasan jurulatih Tan Cheng Hoe, pemain-pemain menjalani latihan di Stadium Universiti Kasetsart, yang terletak kira-kira 30 minit di luar pusat bandar Bangkok.​​​​​​​

Mereka menghabiskan kira-kira 1 jam menjalani latihan.

Media hanya dibenarkan berada di stadium selama 15 minit untuk menyaksikan latihan.​​​​​​​

Beberapa wakil media Thailand turut berada di Stadium Universiti Kasetsart untuk merakam aksi pemain-pemain Harimau Malaya.​​​​​​​

Turut hadir menyaksikan latihan pertama pemain-pemain negara adalah Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin.

Terdahulu, pemain Malaysia tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi kira-kira 1.25 petang menggunakan pesawat Penerbangan Malaysia dan disambut oleh Duta Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel serta kakitangan kedutaan.​​​​​​​

Dalam perlawanan separuh akhir pertama yang disaksikan oleh lebih 80,000 penonton di Stadium Bukit Jalil Sabtu lepas, skuad bimbingan Cheng Hoe diikat Thailand seri tanpa jaringan, walaupun dihidangkan pelbagai peluang untuk menjaringkan gol.​​​​​​​

Skuad Gajah Perang yang dibimbing jurulatih Serbia, Milovan Rajevan mahu merangkul kejuaraan buat kali ketiga berturut-turutnya selepas menjuarainya pada edisi 2014 dan 2016.

Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir kedua, Vietnam akan menentang Filipina di Hanoi. – BERNAMA​​​​​​​

Loading...