SKMM Siasat Pihak Hina Yang Di-Pertuan Agong

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menjalankan siasatan ke atas pihak tidak bertanggungjawab yang memuat naik imej menghina Yang di-Pertuan Agong di laman Facebook semalam.

SKMM dalam satu kenyataan berkata, siasatan itu dijalankan susulan laporan yang diterima suruhanjaya itu daripada orang ramai supaya tindakan segera diambil terhadap pihak berkenaan.

“SKMM juga telah dimaklumkan bahawa pihak Polis Diraja Malaysia juga sedang menjalankan siasatan.

“Penyelarasan siasatan dan perkongsian maklumat sedang giat dijalankan,” katanya di sini, hari ini.

Kenyataan itu berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar untuk menyebarkan berita dengan niat untuk mengganggu orang lain.

Jika didapati bersalah, mereka boleh didenda RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Loading...