Skim Kontrak Langkah Ke Belakang – Jamil Khir

ALOR SETAR – Langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) memperkenalkan skim kontrak terhadap penjawat awam merupakan langkah ke belakang selain menunjukkan sikap kerajaan yang tidak menghargai pengorbanan penjawat awam.

Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pengorbanan penjawat awam yang berkhidmat sehingga puluhan tahun tidak sewajarnya hanya dinilai berdasarkan gaji bulanan semata mata tanpa kebajikan lain yang setaraf untuk hari persaraan.

Menurutnya, sekiranya skim kontrak berkenaan dilaksanakan nasib penjawat awam di negara ini disifatkan amat malang.

“Inikah konsep Malaysia baharu yang dilaungkan PH, yang lebih banyak serlahkan agenda yang menyusahkan rakyat. UMNO Kedah mendesak agar kebajikan penjawat awam diperkasakan atau sekurang-kurangnya dikekalkan pada tahap sedia ada,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah mengumumkan mulai tahun 2020, lantikan baharu dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat bawah skim tetap dan berpencen sebaliknya digantikan skim lantikan kontrak yang ditambah baik.

Beliau berkata, langkah itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa khas pembaharuan perkhidmatan awam, Oktober lalu, yang mahu perkhidmatan awam dikecilkan secara berfasa berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang mencecah RM28 bilion.

Jamil Khir berkata, berbanding ketika negara ditadbir Barisan Nasional (BN) sejak merdeka hingga 2018, kerajaan BN sentiasa mempertahankan dan perkasakan perkhidmatan awam.

“Segala usaha ke arah penambahbaikan kakitangan awam serta keluarga sentiasa dipertingkatkan bawah BN termasuk tangga gaji, skim pencen, perubatan, ganjaran, bonus, perumahan serta pelbagai faedah semasa persaraan,” katanya.

Menurutnya, pengumuman itu pasti menyedihkan penjawat awam yang secara purata menghabiskan perkhidmatan sehingga 30 hingga 35 tahun untuk menyumbang kepada pentadbiran negara.

“Pengumuman itu umpama ledakan bom yang mengejutkan penjawat awam termasuk graduan yang sedang menunggu kerja serta mahasiswa di menara gading. Saya percaya ramai mengharapkan pengumuman itu akan diikuti dengan penafian atau sekadar berita palsu,” katanya. – Sinar Harian