Skim JanaKerja Untuk Bantu Penganggur

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melaksanakan Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) yang membabitkan penyediaan 500,000 peluang pekerjaan baharu termasuk pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan semula melalui perbelanjaan sebanyak RM3.7 bilion, tahun hadapan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini berkata, untuk itu kerajaan akan meneruskan inisiatif pengambilan pekerja di bawah PERKESO yang dikenali PenjanaKerjaya.

Katanya, ia akan membabitkan empat penambahbaikan iaitu pertama, insentif untuk pekerja bergaji RM1,500 ke atas akan dinaikkan daripada kadar rata RM800 sebulan kepada 40 peratus daripada gaji bulanan, terhad kepada insentif maksimum RM4,000 sebulan.

“Kedua, bagi menggalakkan peluang pekerjaan kepada golongan OKU, penganggur jangka panjang dan pekerja yang diberhentikan, majikan akan diberi insentif tambahan sebanyak 20 peratus, menjadikan keseluruhan insentif majikan berjumlah 60 peratus.

“Ketiga, bagi sektor dengan kebergantungan tinggi kepada pekerja asing seperti pembinaan dan perladangan, insentif khas sebanyak 60 peratus daripada gaji bulanan disediakan dengan 40 peratus disalurkan terus kepada majikan dan 20 peratus kepada pekerja tempatan yang menggantikan pekerja asing.

“Ketiga-tiga perkara ini, insentif diberikan untuk tempoh enam bulan, manakala keempat, bagi mereka yang diambil bekerja di bawah PenjanaKerjaya, kos maksimum program latihan yang layak dituntut majikan dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM7,000 ringgit bagi menjalani program kemahiran tinggi atau sijil profesional,” katanya.

Beliau berkata, bagi menjayakan keempat-empat inisiatif PenjanaKerjaya itu, sejumlah RM2 bilion ringgit diperuntukkan dan dijangka dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada 250,000 pencari kerja.

Kerajaan juga mengumumkan pembentukan Majlis Pekerjaan Negara yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri untuk menyelaras pelbagai inisiatif merentas Kementerian dan agensi dalam mencipta peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran dan latihan pekerja. 

“Agensi LAKSANA (Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional) akan bertanggungjawab untuk memantau keberkesanan segala inisiatif bagi memastikan rakyat Malaysia terus mendapat peluang pekerjaan,” katanya. – myMetro Online