SHAH ALAM – Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Selangor merangkul kejuaraan bola sepak Piala Raja Muda Selangor (RMS) 2018 selepas mengalahkan SK Petaling Jaya 2-1 pada perlawanan akhir di padang Kelab Sukan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) di sini, hari ini.

Selaku juara, SK Seri Selangor membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000, piala, pingat serta sijil yang disampaikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

SK Petaling Jaya, yang muncul naib juara, menerima RM3,000, manakala SK Desa Millenium dan SK Seksyen 24 yang menduduki tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima RM2,000 dan RM1,000 berserta pingat dan sijil.

Kejohanan edisi ke-31 itu bermula pada 22 Okt lepas dengan melibatkan 576 pemain bawah umur 12 tahun menerusi 32 pasukan dari 20 buah sekolah rendah mewakili Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Petaling Perdana dan 12 sekolah PPD Petaling Utama.

Perangsang Selangor sekali lagi menjadi penaja utama kejohanan itu sejak 2013 dengan nilai tajaan sebanyak RM100,000. – BERNAMA

Loading...