Situasi Banjir Di Pahang, Johor Tidak Banyak Berubah

KUALA LUMPUR – Situasi banjir di beberapa kawasan di Johor dan Pahang tidak banyak berubah pagi ini.

Di Johor, bilangan mangsa yang dipindahkan meningkat sedikit apabila seramai sembilan dipindahkan hari ini menjadikan jumlah terkini 5,367 orang daripada 1,466 keluarga berbanding malam tadi (5,358 orang).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, kesemua mangsa ditempatkan di 65 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah iaitu Kluang, Kota Tinggi, Mersing, Kulai, Pontian, Batu Pahat dan Segamat.

“Kluang merupakan daerah yang mempunyai mangsa tertinggi iaitu 1,722 orang diikuti Segamat iaitu 1,197 orang. Bagaimanapun, Kluang menunjukkan trend menurun, tetapi Segamat meningkat sedikit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tiga laluan di Kota Tinggi masih ditutup untuk semua kenderaan berikutan dinaiki air iaitu Kilometer (KM) 43 Jalan Lok Heng-Mawai, KM 72/73 Jalan Johor Bahru-Mersing dan Jalan Felda Aping Timur.

Katanya, di Mersing terdapat dua laluan iaitu di KM 59 Jalan Johor Bahru-Mersing dan KM 70 Jalan Johor Bahru-Mersing yang dibuka kepada kenderaan berat sahaja.

Di Pahang, jumlah mangsa banjir di Temerloh, Bera dan Rompin tidak berubah dengan 1,049 orang daripada 268 keluarga masih berada di 13 pusat penempatan sementara di tiga daerah itu.

Menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, Rompin merekodkan jumlah pemindahan mangsa paling ramai iaitu 980 orang daripada 253 keluarga yang ditempatkan di tujuh pusat penempatan sementara di daerah itu.

Angkatan Pertahanan Awam Pahang menerusi kenyataan medianya melaporkan paras air Sungai Lepar di Kuantan kini melebihi paras amaran manakala enam lagi sungai berada pada tahap waspada.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca waspada dengan jangkaan hujan lebat berlarutan di seluruh Kelantan dan Terengganu serta beberapa daerah di Pahang dan Sabah pada hari ini sehingga esok.

Loading...