Siti Nurhaliza Tiada Kaitan PRK DUN Semenyih

KUALA LUMPUR – Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penularan dakwaan mengatakan dia bakal bertanding sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Perkara itu ditegaskan oleh pengurus peribadi Siti Nurhaliza, Rozi Abd. Razak, 45, sebagai kenyataan terhadap desakan pelbagai pihak yang mahukan penjelasan Siti mengenai dakwaan tersebut.

“Sebolehnya saya atau @ctdk (Siti Nurhaliza) tidak mahu komen kepada perkara yang tidak ada kena mengena, tidak diketahui dan tidak dilakukan oleh @ctdk (Siti Nurhaliza).

“Cukuplah jika tidak suka nama kita digunakan, nama kita dijadikan bahan fitnah, nama kita dihina-hina, nama kita diejek-ejek, begitulah juga @ctdk (Siti Nurhaliza),” tulisnya menerusi laman Instagramnya semalam.

Mengulas lanjut, Rozi berkata, sepanjang berdepan fitnah mengaitkan Siti Nurhaliza dalam propaganda politik, pihak pengurusan mengambil pendekatan berdiam diri dan hanya sesekali menjelaskan dakwaan tersebut kepada umum.

Sementara itu, ruangan komen Instagram milik Rozi dibanjiri komen pengguna laman sosial yang mendesak pihak pengurusan dan Siti Nurhaliza mengambil tindakan undang-undang terhadap fitnah berkenaan.

Baru-baru ini tular dalam media sosial mengaitkan pelantun lagu Anta Permana itu sebagai calon PH dalam PRK DUN Semenyih yang dijadualkan berlangsung pada 2 Mac nanti. – K! ONLINE

Loading...