Siti Nurhaliza Bakal Terbit Buku Kisah Hidupnya

Nama Datuk Siti Nurhaliza dalam bidang seni tempatan bukanlah satu nama yang calang-calang orangnya.

Hampir segenap lapisan masyarakat daripada pelbagai peringkat usia dan bangsa mengenali figura hebat ini.

Jadi, buat menghargai sokongan peminatnya yang tidak berbelah bahagi, Siti dikatakan bakal menerbitkan sebuah buku biografi mengenai dirinya yang akan dipasarkan kelak.

Namun, Siti menjelaskan beliau hanya ingin memfokuskan kepada kehidupannya sebelum bergelar penyanyi serta penghibur disegani di seluruh negara.

Memetik Murai, Siti berkata, “memang sudah lama Siti berniat untuk melahirkan buku autobiografi sendiri, tapi masanya belum sesuai. Sekarang ini pun kami masih mengumpul seberapa banyak maklumat untuk melahirkan buku itu”.

“Semuanya masih dalam perancangan dan Siti tak tahu bila ianya akan dilancarkan. InsyaAllah bila semuanya sudah siap, Siti akan beritahu kelak,” katanya.

Siti mahu peminat mendekati peristiwa sebelum dirinya bergelar penyanyi dan ketika di zaman kanak-kanak, kerana baginya itulah yang sebenarnya masyarakat ingin tahu mengenai seseorang insan yang dikupas kisah susur galur hidupnya. – MYNEWSHUB.MY

Oleh: JULIANA JOHAR