Siti Kasim Seru Pengundi PD ‘Tewaskan’ Anwar

33

PULAK DAH… Peguam kontroversi, Siti Kasim memang diketahui amat cenderung kepada Pakatan Harapan (PH) sejak dulu lagi malah lantang kutuk pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Bagaimanapun lain pula nadanya kali ini apabila sanggup menyeru pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson agar ‘mengajar’ PKR dan keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pengundian tersebut nanti.

Menurut Siti Kasim, PRK kali ini merupakan siri pilihan raya yang ketiga diadakan khas bagi membolehkan keluarga Anwar bertanding termasuk Langkah Kajang pada 2014 untuk beliau menjadi menteri besar Selangor baharu.

Siti Kasim berkata, keluarga Anwar tidak sepatutnya berfikir boleh melakukan apa sahaja yang mereka mahukan terutama dengan menukar kerusi tertentu berpotensi sesama sendiri setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU).

Menerusi akaun sosial Instagram miliknya, Siti Kasim memohon kepada pengundi di bandar pantai peranginan popular Negeri Sembilan itu agar tidak memilih Anwar tetapi memberi kemenangan kepada calon pembangkang.

“Jangan undi Anwar. Biar pembangkang menang. PKR dan keluarga Anwar mesti diberi pengajaran. Mereka lakukan perkara ini sebanyak tiga kali. Tidak boleh lagi! Mereka fikir boleh lakukan apa sahaja yang mereka mahu?

“Tidak!” tegas Siti Kasim dalam rayuan secara terbuka kepada sejumlah 75, 381 pengundi kawasan tersebut yang juga merupakan kerusi tunggal PKR daripada lima kerusi Parlimen dimenangi calon PH di Negeri Sembilan.


Pada 2008, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang bagi memberi laluan mudah kepada suaminya, Anwar untuk bertanding dalam PRK di kerusi tersebut.

Ini diikuti pula pada 2014, dengan Langkah Kajang yang menyaksikan ADUN Kajang dari PKR, Lee Chin Cheh melepaskan jawatannya bagi memberikan laluan kepada Dr. Wan Azizah bertanding pada PRK kawasan itu.

Langkah kontroversi tersebut didakwa bertujuan untuk menjadikan Dr. Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor bagi mengantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas pencalonan Anwar digugurkan pada saat-saat akhir.

Semalam Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail di ibu negara mengumumkan bahawa Anwar yang baharu dipilih sebagai Presiden PKR bersetuju memilih Port Dickson dan akan bertanding pada PRK di situ.

Penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah letak jawatan bagi beri laluan kepada Anwar. Laporan sebelum ini menyebut konon Anwar bakal ganti Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-8. – Agensi