Sistem Penuaian Air Hujan Nahrim Diiktiraf

KUALA LUMPUR – Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan (Nahrim) hari ini menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) atas kejayaan mencipta sistem penuaian air hujan (SPAH) terbesar bagi kategori makmal di Makmal Hidraulik dan Instrumentasi Nahrim (MHI).

Pengarah MHI Ir Dr Safari Mat Desa berkata SPAH dicipta dan dibangunkan pada 2008 bagi mengetengahkan konsep penggunaan air hujan dari sumber tadahan sekitar MHI air hujan sama diguna semula untuk kegunaan berulang.

“Sistem ini merupakan hasil kajian Nahrim sepenuhnya dan menelan belanja kira-kira RM100,000 bagi pemasangan SPAH.

“SPAH menggunakan air hujan 100 peratus dan permukaan tadahan bumbung bangunan MHI dengan saiz tadahan maksimum 12,000 meter padu dijadikan kawasan tadahan air hujan,” katanya kepada Bernama selepas majlis perasmian Seminar Kebangsaan Aplikasi Pemodelan Fizikal dan Teknologi (PHYMAT) serta Pameran Penciptaan dan Inovasi Hidraulik (HydrauLIIS) 2018 di Nahrim hari ini.

Safari berkata sistem agihan di permukaan tadahan turut dilengkapi dengan sistem ‘gutter’ dan salur tegak yang mengumpul air hujan dari pengumpulan permukaan dan memindahkannya ke kemudahan sedia ada.

Mengulas lanjut, katanya SPAH digunakan di fasiliti MHI iaitu ‘model’ pelabuhan dan pangkalan, pantai dan muara, ‘flume’ dua dimensi dan ‘flume’ pelbagai fungsi (bagi kajian interaksi ombak dan arus).

“Dengan SPAH, ia dapat mengurangkan kebergantungan kepada sistem bekalan air awam untuk tujuan pemodelan fizikal serta menyediakan bekalan air tambahan untuk kegunaan waktu kecemasan.

“Ia juga berjaya membantu Nahrim dalam penjimatan kos bil air iaitu menjimatkan kira-kira RM18,000 setahun, selama lapan tahun hingga kini,” katanya dan menambah SPAH memberi pelbagai impak kepada alam sekitar.

Beliau berkata ia juga​​​​​​​ meningkatkan produktiviti kerana tidak mengakibatkan proses kerja terganggu jika bekalan air awam terputus dan menjimatkan guna tenaga manusia kerana hanya memerlukan seorang pengendali sahaja.

Terdahulu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar yang merasmikan seminar tersebut menyarankan Nahrim menganjurkan simposium antarabangsa pada 2020 mengenai perubahan iklim dengan menggabungkan kepakaran universiti tempatan dan para penyelidik untuk membentangkan hasil kajian.

Kementerian akan menyokong sepenuhnya bagi membolehkan simposium tersebut diadakan, di samping mengalakkan penglibatan penyelidik tempatan dalam perkara tersebut, katanya ketika berucap merasmikan program tersebut.

Dr Xavier turut mengalu-alukan penglibatan para penyelidik dan institusi berkaitan yang boleh membawa inovasi baharu untuk menghadapi perubahan iklim selain menyumbang kepada pemuliharaan negara.

Seminar PHYMAT kelima ini merupakan acara dwitahunan bertujuan mengumpulkan kesemua pakar di bawah satu bumbung bagi membentangkan hasil kajian dalam bidang pemodelan fizikal manakala HydrauLIIS yang julung kali diadakan menjadi hab pengumpulan produk inovasi hidraulik yang dihasilkan para penyelidik.

Sementara itu, sijil pengiktirafan ciptaan rekod diserahkan oleh Dr Xavier kepada Timbalan Ketua Pengarah Nahrim Ir Mohd Fauzi Mohamad disaksikan dua pegawai MBOR. – BERNAMA

Loading...