Sistem LRT Atau MRT Untuk RTS Johor Bahru-Singapura?

PETALING JAYA – Seorang perunding perancangan pengangkutan menyokong inisiatif kerajaan menggunakan sistem kereta api aliran ringan (LRT) bagi jajaran lintas sempadan antara Johor Bahru dan Singapura (RTS) dengan berkata, ia memadai untuk keperluan Malaysia.

Bagaimanapun seorang perunding lain berkata, sistem aliran massa (MRT) yang mempunyai kapasiti lebih besar adalah lebih sesuai kerana penumpang tidak perlu menukar kereta api untuk menggunakan sistem transit Singapura.

Bercakap kepada FMT, perunding pengangkutan Goh Bok Yen berkata, sistem MRT tidak bermakna kepada Malaysia dari segi kewangan kerana tidak terdapat jaringan MRT di Johor dan permintaan terhadapnya juga tidak mencukupi.

“Jika MRT dibina di JB sekarang, kereta api itu akan kosong,” katanya.

Isnin lepas, kerajaan Singapura mengumumkan bahawa atas permintaan Malaysia tarikh menandatangani perjanjian sistem aliran kereta api ditangguhkan sehingga April tahun depan.

RTS akan menghubungkan Bukit Chagar di Johor dengan Woodlands di Singapura.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, kerajaan mencadangkan LRT, bukan MRT kerana ia lebih murah.

Goh berkata, sistem MRT lebih sesuai untuk Singapura “kerana dari Woodlands anda boleh disambungkan dengan keseluruhan rangkaian MRT. Tetapi bagi kita ia tidak sesuai dari segi kewangan.”

Namun begitu, jenis sistem pengangkutan yang bakal dipilih kurang penting berbanding keperluan memastikan pemeriksaan imigresen yang pantas.

“Pemeriksaan imigresen dan kastam tunggal adalah cara paling baik untuk mengurangkan masa perjalanan. Ia punca pengguna mengambil masa berjam-jam untuk menyeberang sempadan.”

Beliau berkata, lintasan sempadan antara Hong Kong dan China menggunakan pengimbas pengenalan wajah dan kenderaan bagi memastikan aliran yang lancar.

“Saya fikir Malaysia dan Singapura tidak berkerjasama secara sebaik-baiknya dari aspek lintasan sempadan,” katanya.

“Jika kita boleh menambah baik keadaan ini, dan boleh membina dua lagi jambatan, saya percaya aliran lalu lintas antara dua negara akan menjadi lebih lancar.”

Perunding pengangkutan lain, Rosli Azad Khan berkata, Malaysia sepatutnya mengekalkan idea asal untuk menggunakan sistem MRT.

“Ia menjamin perjalanan lancar penumpang,” katanya.

“Jika kita guna sistem yang berbeza, ia akan menyukarkan penumpang. Mereka perlu turun dari LRT dengan bagasi masing-masing untuk naik MRT dan sebaliknya.”

Katanya, pertimbangan paling utama dalam memilih sesebuah sistem aliran ialah kemudahan pengguna, bukan kos.

“Bila anda guna Channel Tunnel (Terowong Selat) dari England ke Perancis, anda gunakan sistem kereta api yang sama. Anda tidak turun dari satu jenis kereta api di England dan berpindah ke jenis lain di Perancis.” – FMT

Loading...