Singapura Sahkan 3 Lagi Kes Import Jangkitan Koronavirus

SINGAPURA – Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan 3 lagi kes import jangkitan koronavirus, menjadikan keseluruhannya 13 kes di sini.

Kementerian itu berkata, tiada bukti virus itu merebak dalam kalangan komuniti di Singapura ketika ini.

Ketiga-tiga pesakit itu ialah warga China dari Wuhan dan mereka sedang dirawat di bilik isolasi di Pusat Nasional untuk Penyakit Berjangkit (NCID) di sini.

Kes ke-11 itu melibatkan seorang wanita berumur 31 tahun yang tiba di Singapura pada 22 Januari lalu. Beliau menemani individu yang disahkan menjadi kes ke-4 jangkitan koronavirus di Singapura.

Semasa penerbangan ke Singapura, wanita itu tidak menunjukkan sebarang simptom jangkitan.

“Wanita itu mula menunjukkan simptom jangkitan pada 27 Januari dan keputusan ujian mengesahkan ia jangkitan koronavirus kira-kira 11 malam 29 Januari,” menurut kementerian itu.

Kes ke-12 pula melibatkan seorang wanita berumur 37 tahun yang tiba di Singapura bersama keluarganya pada 22 Januari dan mula menunjukkan simptom jangkitan 4 hari kemudian.

Sebelum dimasukkan ke hospital, wanita itu menginap di Village Hotel Sentosa (10 Artillery Avenue), Hotel 81 Princess (21 Lorong 12 Geylang) dan Home Suite View Hotel (12 Lorong 12 Geylang).

“Wanita itu memberitahu dia telah melawat Orchard Road serta Geylang, serta menggunakan perkhidmatan teksi untuk melakukan perjalanan.”

Kes ke-13 pula melibatkan seorang wanita berumur 73 tahun yang tiba di Singapura dari Wuhan bersama keluarganya pada 21 Jan lalu dan disahkan positif kira-kira 2 petang semalam.

“Ketiga-tiga kes terbaru itu berada dalam keadaan stabil dan kita sedang memantau kesihatan mereka,” katanya sambil menambah tiada satu pun daripada 10 kes terdahulu menampakkan tahap kesihatan kritikal, sebaliknya mereka semakin pulih.

Kementerian Kesihatan Singapura berkata, 164 kes disyaki sudah disahkan negatif sehingga tengah hari semalam.

Loading...