Singapura Kenakan Caj Rawatan Covid-19 Pesakit Warga Asing

SINGAPURA – Singapura telah mula mengenakan bayaran kepada warga asing yang menerima rawatan koronavirus, selepas kes jangkitan baru membabitkan individu yang telah mengunjungi Indonesia.

Indonesia yang mempunyai populasi keempat terbesar di dunia merekodkan kes pertama Covid-19 pada awal bulan ini dengan 19 kes jangkitan berbanding 160 di Singapura.

Langkah yang diumumkan oleh Singapura semalam itu telah dikuatkuasakan pada 7 Mac apabila dua warga Indonesia tiba di Singapura dengan simptom Covid-19.

Kedua-duanya telah melaporkan mempunyai simptom itu di Indonesia sebelum tiba di Singapura, malah salah seorangnya menerima rawatan di Indonesia.

Kes lain juga membabitkan seorang rakyat Singapura yang melawat kakaknya di Indonesia yang mengalami pneumonia.

Bagaimanapun, kementerian itu tidak menyatakan sama ada pembayaran itu membabitkan kes-kes tertentu.

“Memandangkan peningkatan jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh dunia dan kenaikan jangkaan dalam bilangan kes yang disahkan di Singapura, kami perlu mengutamakan sumber di hospital awam,” kata kementerian kesihatan dalam satu kenyataan.

Warga asing yang memegang pas lawatan jangka pendek perlu membayar tetapi ujian untuk virus itu masih percuma.

Rawatan jangkitan pernafasan yang teruk di hospital awam Singapura biasanya antara S$ 6,000 – S$ 8,000, menurut laman web Kementerian Kesihatan. – Agensi

Loading...