Singapura Dedah Kerajaan PH Mohon Tangguh RTS Memalukan

KUALA LUMPUR – Pendedahan Singapura bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memohon projek Sistem Transit Rel (RTS) ditangguhkan lagi amat memalukan, sekali gus menampakkan pengumuman mengenai projek tersebut baru-baru ini hanyalah wayang untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Lebih malu lagi, apabila pengumuman yang dibuat Kerajaan PH itu secara tergesa-gesa, butiran tidak lengkap dan tidak dibincangkan pun dengan Singapura.

Pemerhati politik, Dr. Novandri Hasan Basri mendakwa, pembohongan demi pembohongan PH semakin menjadi-jadi.

“Pendedahan ini amat memalukan dan sidang akhbar terbaru kerajaan PH semasa mengumumkan projek RTS tampak hanya wayang untuk PRK Tanjung Piai!” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan akan meneruskan projek RTS Link antara Johor Bahru dan Singapura dengan kos keseluruhan projek ditetapkan kepada RM3.16 bilion.

Pada kos tersebut, kerajaan berjaya melakukan penjimatan sebanyak RM1.77 bilion iaitu 36 peratus lebih rendah berbanding kos asal.

Bagaimanapun, sebelum itu, akhbar The Star melaporkan Putrajaya telah memohon lanjutan tempoh enam bulan untuk projek RTS.

Berita itu disanggah oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sambil mendakwa laporan itu sangat mengelirukan dan merupakan kewartawanan yang tidak beretika.

Tetapi, semalam, Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan mengesahkan bahawa Putrajaya telah memohon penangguhan sehingga 30 April 2020.

Malah, Khaw dilaporkan memaklumkan kepada Parlimen Singapura dalam jawapan bertulis semalam bahawa Malaysia belum bersedia untuk berkongsi perubahan cadangan RTS. – MalaysiaGazette

Loading...