Singapura Bina Fasiliti Mega Pesakit COVID-19, Pekerja Asing

SINGAPURA – Sebuah fasiliti mega sedang dibina di Terminal Tanjong Pagar bagi menempatkan hingga 15,000 pesakit COVID-19 serta pekerja asing, dalam keadaan kes wabak itu terus meningkat di Singapura, menurut laporan The Straits Times, semalam.

Sejak beberapa hari lalu, laporan itu menyebut, tinjauan ke kawasan berkenaan mendapati khemah besar sedang dipasang menggunakan kren di lokasi terbabit.

Lori membawa bahan binaan bangunan dilihat memasuki kawasan terminal itu yang telah dikosongkan sejak pemindahan operasi pelabuhan pada 2017 sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan pelabuhan mega masa hadapan di Tuas.

Hingga Rabu lalu, menurut laporan itu, sekurang-kurang lima atau enam barisan khemah telah siap dipasang di terminal berkenaan.

Laporan itu berkata, sejak beberapa minggu lalu, Kerajaan Singapura menyediakan beberapa lokasi bagi menempatkan pekerja asing yang sihat bertujuan mengekang penyebaran virus di asrama pekerja atau memindahkan mereka ke lokasi isolasi komuniti.

Anda peniaga? Mencari platform pengiklanan Online? Mula dengan kami ..Website Mynewshub, FB (2.96 juta followers), Instagram dan Twitter. Hubungi kami http://www.wasap.my/60176070516

Pusat isolasi komuniti menempatkan pesakit COVID-19 sedang pulih dan mereka yang mempunyai simptom ringan, di mana ia termasuk Singapore Expo, Changi Exhibition Centre serta D’Resort NTUC di Pasir Ris, menurut laporan media itu.

Kesemua 10,000 pekerja asing dalam perkhidmatan penting yang tinggal di asrama khas telah dipindahkan ke 18 kawasan penginapan alternatif seperti kem tentera, hotel, dewan sukan dan blok perumahan kerajaan yang kosong.

Kapal persiaran juga dicadang untuk menempatkan pekerja dengan satu daripadanya ialah SuperStar Gemini yang ketika ini berlabuh di Marina Bay Cruise Centre Singapore, berhampiran kawasan Terminal Tanjong Pagar.

Setakat tengah hari semalam, Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan 1,037 kes jangkitan COVID-19 baharu di republik ini dengan majoritinya membabitkan penghuni asrama.

Dengan kes baharu itu, jumlah keseluruhan jangkitan di republik ini sudah mencecah 11,178.

Loading...