Sindrom Wanita Mencari Likes Tanda Kecantikan Diri

DALAM dongeng terkenal Inggeris: “Mirror mirror on the wall, who is the most beautiful lady on the land?”

Ia kisah obses seorang Permaisuri yang mahukan dirinya kekal sebagai wanita paling cantik di negaranya. Ia juga paparan obses seorang isteri yang takut suaminya Sang Raja jatuh cinta pada wanita lain.

Justeru, Permaisuri hidup dengan bertemankan cermin sihir untuk memastikan dirinya wanita paling cantik.

Apabila suaminya mati, Permaisuri sudah ketagih mengadap cermin ajaibnya. Ia bukan lagi kerana takut dicurangi, sebaliknya mahu kekal menjadi wanita paling cantik di negeri pemerintahannya.

Dongeng ini berkisar tentang obses wanita. Diangkat pada era klasik ketika kewujudan cermin ialah refleksi paling dekat untuk memenuhi obses menilai kecantikan diri.

Kini dongeng Mirror Mirror sudah berakhir. Namun, obses wanita terhadap kecantikan tidak pernah luput. Keinginan untuk terlihat cantik serta diiktiraf tercantik tetap menghantui wanita sepanjang zaman.

Ironinya, krisis psikologi wanita moden kini merebak ke instagram (IG).

IG adalah Mirror Mirror bagi obses wanita masa kini. IG menjadi cermin teknologi moden pengganti cermin antik dalam kisah dongeng lampau. IG lebih realistik kerana likes yang diperolehi bukan seteruk kuasa sihir dalam cermin purba.

Hari ini, wanita yang gilakan kecantikan akan bercerminkan IG. Likes yang banyak ialah kuasa sihir terbaharu.

IG memenuhi obses wanita apabila likes yang banyak akan membantu mereka menjadi lebih yakin pada kecantikan yang dimiliki.

Bagi wanita yang hanya bergantung pada paras rupa untuk menilai harga dirinya, likes yang banyak umpama satu penawar untuk menyembuhkan krisis psikologi yang dialami.

Wanita pencari kecantikan di IG adalah penderita sindrom krisis diri yang senasib dengan Permaisuri Mirror Mirror. Wanita cantik pencari harga diri di IG bukan Snow White watak yang dizalimi oleh Permaisuri.

Wanita penyedih di IG ialah gadis malang yang hanya percaya: Kecantikan sebenar terpancar pada jumlah likes yang diperolehi. Mereka desperadona IG.

Wanita pencari kecantikan di IG jarang mahu hidup dengan keyakinan pada akalnya. Desperadona lebih percaya pada post dengan foto dan kapsyen yang pastinya berkisar sekitar konflik diri.

Sepasang mata akan dilensa warna-warna, bibir digincu basah-basah, gaun dikembang-kembangkan serta pinggang diramping-rampingkan.

Krisis psikologi disembunyikan di sebalik motif lain: Biasanya kapsyen tentang majlis yang bakal dihadiri, atau makluman tentang pereka fesyen yang dikagumi. Jarang desparadona di IG bertanyakan: IG IG… Siapakah Wanita Tercantik di IG ini?

Tetapi dengan posting status tempelan, desparadona IG mengharapkan wajah cantik mereka ditatap pengikut, dan akhirnya pesona tatapan itu mencetuskan likes.

Likes yang banyak adalah kuasa sihir IG yang meyakinkan desparadona: Akulah wanita paling cantik di dunia IG ini.

Ini sindrom meluas dalam IG. Aksi-aksi bombastik dicipta demi mendapatkan likes yang banyak. Likes yang banyak akan membuatkan desparadona berasa lega dan dapat tidur lena. -MYNEWSHUB.CC