Sindiket Samun ‘Bang Chik’ Tumpas

SUNGAI PETANI – Polis berjaya menumpaskan sindiket samun dikenali kumpulan ‘Bang Chik’ setelah menahan lima lelaki berusia antara 25 hingga 35 tahun di sekitar daerah ini pada 27 dan 28 Nov lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Adzli Abu Shah berkata dengan tangkapan itu sejumlah lapan kes samun bersenjata di sekitar daerah Kuala Muda dan masing-masing satu kes di Sik serta Baling berjaya diselesaikan polis sepenuhnya.

“Bertindak atas maklumat, ​​​​​​​pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dibantu Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, antara 8 malam 27 Nov hingga 5 pagi 28 Nov, telah berjaya menangkap lima suspek warga tempatan,” katanya pada sidang media di IPD Kuala Muda hari ini.​​​​​​​

Adzli berkata kumpulan itu dipercayai baharu bergerak aktif sejak tiga minggu lepas dengan berpura-pura melanggar belakang kereta mangsa atau menjadi pelanggan di premis perniagaan tertentu sebelum melakukan jenayah samun menggunakan senjata pistol dan parang.​​​​​​​

Beliau berkata bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan hasil kegiatan kumpulan itu namun nilai kerugian mangsa termasuk di premis perniagaan seperti stesen minyak dan kedai runcit francais 24 jam mencecah lebih RM20,000.

“Cumanya tindakan kumpulan ini mengacukan senjata pistol ini menyebabkan trauma dalam masyarakat. Membuatkan masyarakat jadi takut. Mereka buat samun ini adalah untuk menampung keperluan dadah di mana mereka aktif dalam pengambilan syabu,” katanya.​​​​​​​

Katanya ujian saringan awal urin ke atas kesemua suspek juga mendapati mereka positif dadah jenis syabu.​​​​​​​

Tambah beliau, tiga daripada individu terbabit mempunyai rekod lampau di mana seorang memiliki rekod dikehendaki berkaitan kesalahan dadah manakala dua lagi mempunyai rekod kes dadah serta curi.

Adzli berkata kesemua suspek itu kini direman tujuh hari bermula 28 Nov lepas dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya. – BERNAMA

Loading...