Sindiket Judi Dalam Talian Tukar Modus Operandi

ISKANDAR PUTERI – Sindiket perjudian dalam talian di negeri ini didapati menggunakan modus operandi baharu iaitu dengan menggunakan kawasan perumahan seperti kondominium dan pangsapuri untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata tindakan licik dalang judi dalam talian dengan tidak lagi menggunakan kedai atau premis-premis itu, agak menyukarkan pihak polis untuk mengesan kegiatan mereka.

Sehubungan itu, Mohd Khalik berkata, beliau mahu masyarakat membantu menyalurkan sebarang maklumat berhubung kegiatan haram tersebut kepada pihak polis.

“Judi untuk kami hapuskan dari segi judi internet kita memang serius dan berjaya hapuskan hampir ‘sifar’. Tetapi sekarang mereka beralih kepada satu strategi baharu iaitu menggunakan tempat-tempat di kondominium, pangsapuri menyukarkan kita untuk kesan, secara asasnya kita perlukan maklumat orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri majlis penutupan Latih Amal EX-Banjir Kontinjen Johor 2018 yang diadakan di Kampung Sungai Melayu, di sini, hari ini.

Mohd Khalil berkata perjudian khususnya loteri awam tanpa lesen atau empat nombor ekor haram tanpa lesen juga dikesan beroperasi di sebalik kedai yang menjual kad tambah nilai.

“Sekarang ini orang jual kad tambah nilai telefon guna kesempatan untuk meniaga ekor haram. Kita sentiasa terbuka untuk menerima maklumat dari orang ramai sama ada melalui laman sosial Facebook ‘Polis Johor’ ataupun mereka boleh ke balai tetapi mereka (orang ramai) juga perlu terbuka untuk salur maklumat,” katanya.

Menurutnya beliau sejak Januari sehingga November ini, seramai 7,118 individu telah ditahan melibatkan perjudian menerusi 3,424 serbuan ke atas premis-premis di seluruh Johor. – BERNAMA

Loading...